Anda semua, di sini saya ada sertakan beberapa contoh karangan terbaik tentang pencemaran air. Semoga bermanfaat. Di samping itu, anda juga boleh mengambil pengajaran akan apa yang berlaku sekiranya kita tidak menjaga alam sekitar seperti air dengan baik.
Contoh karangan 1.
Air merupakan sumber penting dalam kehidupan manusia dan menyokong kepada sistem kehidupan global. Manusia memerlukan air untuk menjalankan aktiviti harian seperti pertanian, perikanan, perindustrian, pengangkuatan dan sebagainya. Namun, air semakin hari semakian tercemar lantaran sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak. Menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, pencemaran air didefinisikan sebagai apa-apa perubahan langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizikal, haba, biologi, atau radioaktif iaitu mana-mana bahagian alam sekitar yang melepaskan, mengeluarkan, atau meletakkan buangan ini sehingga menjejaskan kegunaannya dan menyebabkan suatu keadaan merbahaya dan memudaratkan kesihatan, keselamatan dan kebajikan pihak awam, atau kehidupan lain seperti burung, hidupan liar, ikan dan hidupan akuatik serta tumbuh-tumbuhan air.
PUNCA-PUNCA PENCEMARAN AIR
Punca utama pencemaran air ialah pembuangan sampah dari kawasan perumahan di sepanjang sungai, tepi tasik dan laut. Pembuangan bahan buangan seperti sampah, minyak, dan najis secara tidak terkawal akan menyebabkan sifat air berubah dan seterusnya membawa kepada pencemaran. Sebagai contoh, Sungai Semenyih antara sungai yang tercemar disebabkan oleh najis babi sekitar tahun 1980-an. Sungai yang tercemar ini akan mengalir ke laut dan seterusnya membawa kepada pencemaran laut.
Selain itu, sikap segelintir pengusaha kilang yang tidak bertanggungjawab membuang sisa toksik ke dalam sungai atau laut juga mendorong kepada pencemaran air. Pembuangan ini dianggap mudah kerana tidak memerlukan kos pelupusan. Masalah timbul apabila cecair kimia yang disalurkan ke dalam sungai tidak dirawat dan mengandungi bahan toksik yang mencemarkan air sungai. Kajian menunjukkan terdapat beberapa buah negara maju memasukkan sisa radioaktif ke dalam tong dram sebelum membuangnya kedalam laut.
Pertumpahan minyak yang berlaku disebabkan oleh pelanggaran kapal turut mendorong kepada pencemaran air. Minyak yang mengalir ke laut akibat kebocoran tangki minyak akan menutupi lapisan air dan menyebabkan belakunya pencemaran laut. Sebagai contoh, pelanggaran kapal MV Waily dengan kapal tangki MT Bunga 3 yang membawa 61 858 tan metrik minyak mentah telah menyebabkan berlakunya pertumpahan minyak berhampiran Tanjung Ayam.
KESAN PENCEMARAN AIR
Pencemaran air akan memberi kesan kepada kesihatan menusia. Air yang tercemar mengandungi bahan kimia seperti sodium, nitrat, merkuri dan sebagainya yang boleh memudaratkan kesihatan manusia. Contohnya, sodium memberi implikasi kepada jantung, manakala merkuri dan plumbum pula boleh menyebabkan masalah saraf. Terdapat pelbagai penyakit yang berjangkit melalui air minuman dan air mandian sepertidisentri, salmonela, cryptosporidium dan hepatitis.
Tumpahan minyak yang berlaku di kawasan perairan akan membentuk lapisan minyak yang boleh mengancam organisma laut. Tumpahan tersebut akan menjejaskan tumbesaran dan kesuburan plankton. Hidupan laut seperti ikan, siput, udang dan ketam akan mati disebabkan oleh pembuangan sampah dan sisa toksik yang telah mengakibat pencamaran air yang merupakan habitat hidupan laut. Hal ini akan mendorong kepada kepupusan hidupan laut.
Pencemaran air juga memberi kesan kepada tanah basah. Tanah basah menyediakan habitat kepada banyak organisma hidup dan spesies tumbuhan. Apabila fosforus daripada pencemaran bahan kimia ditambah dalam sistem air, rumpai air akan tumbuh dengan banyak.. Dengan peningkatan fosforus, ianya akan menyebabkan menyebabkan ekosistem menjadi tidak seimbang.
LANGKAH MENGATASI PENCEMARAN AIR
Media massa dan media elektronik memainkan peranan yang penting untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan sungai Kempen kesedaran perlu diadakan melalui televisyen, akhbar dan sebagainya untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan air dalam kehidupan seharian. Dengan penganjuran kempen-kempen ini diharap dapat memupuk sikap cintakanalam sekitar.
Selain itu, pihak kerajaan juga bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang.Manakala, Undang-undang sedia ada perlu diperketatkan lagi supaya pesalah mendapat hukuman yang setimpal dengan kesalahannya. Contonya, pihak-pihak yang melakukan kesalahan mencemarkan sungai, sekiranya disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 25 (3) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, iaitu denda tidak lebih daripada RM 100,000.00 atau penjara untuk tempoh tidak lebih daripada 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
Untuk memastikan supaya sampah sarap tidak menyebabkan sistem perparitan tersumbat maka penyelenggaraan berkala seharusnya dijalankan sekitar satu atau dua kali sebulan. Dengan cara ini, maka sampah sarap tidak akan menyebabkan sekatan air sekali gus sampah tidak terlepas ke sistem saliran utama di sungai.
Kesimpulannya, sebagai makhluk Allah yang dikurniakan akal fikiran, kita tidak sepatutnya mementingkan diri sendiri sebaliknya kita perlu menyokong segala aktiviti yang dijalankan oleh pihak kerajaan mahupun swasta bagi memastikan harapan dan impian negara dapat di capai.
Contoh karangan 2.
Sungai merupakan anugerah Tuhan yang amat bernilai dan perlu dijaga dengan baik oleh manusia.
Jelaskan pendapat anda tentang sebab-sebab sungai tercemar dan kepentingan sungai dalam kehidupan.
“Beribu-ribu ekor ikan terapung-apung di permukaan sungai” “
“sungai di Pahang telah teruk dicemar”.
Begitulah tajuk-tajuk berita yang acap kali menghiasi dan menguasai dada akhbar-akhbar tempatan. Berita dan paparan media umpama ini bukan sahaja menghiasi dan menguasai dada akhbar-akhbar tempatan, isu ini juga sering menjadi liputan media massa antarabangsa dan persidangan utama dunia.
Pencemaran yang berlaku sepanjang dasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat pelosok dunia. Oleh itu, isu pancemaran sungai sudah menjadi berita basi. Kerajaan pernah mengadakan kempen-kempen seperti “Cintailah Sungai Kita” tetapi mendapat sambutan yang dingin daripada segenap lapisan masyarakat. Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan meningkatnya kes ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, pernahkah terlintas dalam benak anda apakah yang dimaksudkan dengan “pencemaran sungai”? Mengikut penjelasan yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi keempat, “pencemaran sungai” dapat didefinisikan sebagai perbuatan yang mengotorkan sungai yang jernih sehingga keruh dengan pelbagai bentuk cara. Fenomena yang terjadi ini pasti ada sebab-sebab yang munasabahnya kerana kalau angin tidak bertiup, masakan pokok bergoyong? Tahukah anda faktor-faktor yang menyumbang kepada pencemaran sungai? Segalanya bakal terhurai tirai bicara dibuka.
Faktor perdana yang menyumbang kepada pencemaran sungai ialah pembuangan sampah sarap oleh masyarakat. Hal ini ghalibnya dilakukan oleh masyarakat yang tinggal berhampiran dengan sungai. Mereka membuang apa-apa sahaja sampah sarap yang mereka ada ke dalam sungai. Fenomena ini boleh dikatakan telah menjadi satu lumrah dalam kehidupan masyarakat. Pada zaman globalisasi ini, masyarakat telah menganggap sungai sebagai sebuah tong sampah yang besar.Merujuk kepada laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Sungai Malaysia pada tahun 2007, alasan yang diberikan oleh masyarakat yang membuang sampah ke dalam sungai ialah tong sampah yang sedia ada berada jauh dari tempat tinggal mereka. Mereka malas untuk membuang sampah sarap tersebut ke dalam tong sampah yang sedia ada kerana perlu memakan masa yang banyak dan meletihkan mereka. Oleh sebab itu, mereka mengambil jalan mudah dengan membuangkan sampah sarap tersebut ke dalam sungai yang jernih itu dan mengakibatkan sungai itu menjadi keruh. Sampah sarap yang terapung-apung di permukaan sungai itu mempunyai bahan kimia yang akan menyumbang kepada pencemaran sungai.
Selain itu, punca yang seterusnya ialah pembuangan sisa toksik daripada kilang-kilang ke dalam sungai. Sisa toksik dari kilang-kilang tersebut akan mencemarkan sungai dengan menurunkan pH air sungai tersebut. pH air sungai yang rendah amat berbahaya kepada manusia dan hidupan akuatik. Hal ini dikatakan demikian kerana jikalau seseorang meminum air sungai yang pH rendah, kesihatan seseorang itu mungkin terjejas dan yang memburukkan keadaan lagi ialah mendatangkan kematian yang tidak diingini sama sekali. Kualiti kehidupan akuatik seperti ikan akan menurun kerana keadaan sungai yang tercemar tidaklah sesuai untuk ikan-ikan tersebut. Statistik yang sahih lagi tepat yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Air Malaysia pada tahun 2008 jelas menunjukkan kebanyakan kilang yang membuang sisa toksik ke dalam sungai ialah kilang-kilang besar. Ketika ditanya tentang sebab mereka mengalirkan sisa toksik tersebut ke dalam sungai, alasan yang diberi ialah mereka tidak ada pilihan lain selain mengairkan sisa toksik tersebut ke dalam sungai tanpa memikirkan impaknya. Sikap sebegini yang mementingkan diri sendiri ibagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing perlu dikikis demi kepentingan bersama.
Faktor yang seterusnya ialah tumpahan minyak oleh kapal-kapal. Hal sebegini telah lama berlaku di dalam negara kita. Mengapakah hal ini akan berlaku? Sebabnya ialah tong yang mengisi minyak bagi kapal tersebut telah bocor ataupun pecah. Minyak yang jisimnya kurang daripada air akan terapung di permukaan air. Masalah ini akan menjejaskan tumbesaran bagi tumbuh-tumbuhan yang hidup di dalam sungai. Hal ini dikatakan demikian kerana minyak tersebut akan menghalang sinaran matahari daripada sampai ke tumbuh-tumbuhan tersebut. Hal ini secara langsungnya akan menjejaskan proses tumbesaran tumbuhan tersebut kerana tumbuhan itu tidak dapat menjalankan proses pemhasilan makanan. Di negara lain seperti Jerman dan Australia, masalah tumpahan minyak ini tidak pernah berlaku dalam negara tersebut kerana mereka mempunyai kapal yang serba canggih dan tong minyak yang baik sekali.
Apakah kepentingan sungai dalam kehidupan seharian kita? Tidak dapat dinafikan bahawa sungai memang mempunyai kepentingan tertentu dalam kehidupan seharian kita. Kepentingan utamanya ialah sungai memainkan peranannya sebagai medium pengangkutan dan penghubungan. Berbalik kepada sejarah dahulu, pembukaan Terusan Suez telah memendekkan jarak perjalanan antara Timur dan Barat. Hal ini akan menjimatkan masa dan memudahkan perhubungan. Kawasan yang tidak dapat dihubungkan dengan jalan raya dapat dihubungkan dengan menggunakan jalan air. Keadaan ini akan memajukan sistem pengangkutan di negara kita dengan mempunyai pengangkutan darat, pengangkutan udara dan juga pengangkutan air. Hal ini dapat meyakinkan rakyat negara kita agar visi kudsi Wawasan 2020 dapat direalisasikan dan menjadi bumi Malaysia duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara gergasi yang lain di persada dunia.
Seterusnya, sungai amat penting kerana membekalkan sumber air dan protein kepada manusia. Air yang diminum oleh penduduk bumi kebanyakannya datang dari air sungai. Jikalau air sungai telah tercemar, air sungai tersebut perlu dibersihkan melalui proses yang merumitkan dan memakan kos seperti yang berlaku di negara Jerman. Sungai amatlah penting sebagai habitat hidupan akuatik seperti ikan, ketam, dan udang. Tanpa air sungai, manalah datangnya ikan, ketam dan udang yang kita makan pada hari ini? Ikan, ketam dan udang membekalkan sumber protein yang mencukupi kepada manusia. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, sumber protein yang terdapat dalam ikan, ketam dan udang adalah amat tinggi. Persis kata jauhari “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya”. Peribahasa ini mengingatkan manusia supaya tidak mencemarkan air sungai yang merupakan habitat hidupan akuatik dan merupakan anugerah istimewa daripada Tuhan yang akan membahagiakan kita pada hari esok agar kita tidak menyesal pada hari kemudiannya.
Secara kesimpulannya, semua pihak harus berganding bahu ibarat “ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni” untuk mengatasi kemelut pencemaran air yang dapat diibaratkan seperti duri dalam daging kepada masyarakat dan negara. Janganlah kita membiarkan masalah ini terus bernanah di dalam negara kita. Sebagai khalifah Allah yang dikurniakan akal fikiran dan bergelar insan kamil, kita bertanggungjawab untuk menjaga sungai yang merupakan anugerah Tuhan yang amat bernilai ini. Kita haruslah menjauhkan diri daripada perbuatan mencemarkan sungai agar tidak terjadi fenomena “sudah terhantuk baru tengadah”. Marilah kita bersama-sama merealisasikan hasrat dan visi kudsi wawasan 2020. ‘Cintailah Sungai Kita’.