30 May
30May

                 Kesalahan bahasa bukanlah satu isu yang baharu tetapi satu isu yang telah lama dibicarakan. Jika kita lihat, banyak kesalahan bahasa yang boleh kita temukan dalam bahan-bahan terbitan. Sebagai rakyat Malaysia, sudah sampai masanya untuk kita memperjuangkan bahasa kita sendiri. Adakah sesuatu yang amat sukar untuk kita menggunakan bahasa yang betul dari segi hukum tatabahasanya? Tidak malukah kita jika suatu hari nanti kita ditegur oleh pelancong yang fasih berbahasa Melayu kerana kesalahan bahasa yang kita lakukan?

          Banyak antara kita yang beranggapan bahawa kita telah menguasai bahasa Melayu dengan baik. Hal ini demikian kerana sejak kecil lagi kita telah bercakap dalam bahasa Melayu dan belajar bahasa Melayu sejak di bangku sekolah rendah. Jadi, kealpaan dalam menguasai bahasa yang baik terus berlaku. Ada juga yang beranggapan bahawa penguasaan dari aspek tatabahasa kurang penting. Oleh sebab itu, banyak dapat kita temukan kesalahan bahasa dalam penulisan sama ada artikel, berita, rencana, papan tanda, surat dan sebagainya.
              Sebenarnya, dalam penulisan sesuatu sama ada karya, rencana, berita atau surat sekali pun bahasa boleh diibaratkan sebagai senjata untuk seseorang menyampaikan hasrat dan pemikiran mereka. Pemilihan kata-kata yang baik pasti dapat mengangkat martabat sesuatu hasil penulisan dan memantulkan keperibadian seseorang yang menulis hasil atau bahan penulisan tersebut.
           Jadi, sebagai rakyat Malaysia yang telah mempelajari bahasa Melayu sejak kecil lagi, aspek ejaan, penggunaan huruf besar dan huruf kecil, ‘di’ dan ‘ke’ yang didekatkan atau dijauhkan merupakan perkara asas dalam penulisan bahasa Melayu yang perlu dijaga. Dalam sesuatu pekerjaan yang melibatkan penulisan, anda sepatutnya tidak boleh bertolak ansur untuk membiarkan kesalahan seumpama ini terus berlaku dalam penulisan anda. 

           Pada pendapat saya, apabila seseorang itu menulis dengan cermat dan menjaga aspek ejaan dan tatabahasa, orang tersebut sebenarnya menulis dalam keadaan sedar dan mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap perkara yang ditulisnya. Hal ini bermaksud apabila seseorang itu menulis dengan menggunakan bahasa yang betul, maka martabatnya akan dipandang lebih tinggi.

            Selain itu, penggunaan bahasa yang betul juga dapat membantu orang ramai terutamanya para pelajar dalam meningkatkan penguasaan bahasa mereka dan seterusnya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan awam. Hal ini juga dapat membantu para pelajar mendapatkan tempat di universiti awam kerana pada masa ini keputusan cemerlang dalam subjek Bahasa Malaysia menjadi prasyarat dalam kemasukan pelajar ke pusat-pusat pengajian tinggi. Tambahan pula penggunaan bahasa yang betul turut menghapuskan kekeliruan dan salah faham pembaca.
          , Jadi, mulai hari ini marilah kita menggunakan bahasa yang betul dalam penulisan kita. Pelajarilah bahasa kita dan cintailah bahasa kita.


PENGGUNAAN BAHASA

1.      Tatabahasa terdiri daripada beberapa komponen bahasa iaitu fonologi, morfologi, sintaksis, dan sebagainya.

2.      Bahagian ini menerangkan pembentukan golongan kata, penggunaan imbuhan, dan pembinaan ayat yang betul.

3.      Kaedah pengajaran disampaikan dalam beberapa bentuk iaitu secara formal dan tidak formal.

4.      Kesannya pelajar mapu bertutur, membaca, dan menulis karangan dengan baik.

5.      Penggunaan ayat-ayat yang ringkas, padat dan mudah difahami.

6.      Pelajar turut mempelajari perihal pembentukan perkataan dalam rangkaikata dan ayat.

BAB 1: GOLONGAN KATA - Nota

 

1. KATA NAMA

 

KATA NAMA KHAS - ia merujuk kepada manusia, binatang, tempat, dan benda secara khusus.
- Huruf awal dalam perkataan mestilah menggunakan huruf besar.
- Kata akronim yang dibentuk melalui pencantuman huruf awal beberapa perkataan jiuga ialah kata nama khas. Contohnya : UMNO, ABIM, RISDA

 

KATA NAMA AM - digunakan untuk menyebut sesuatu secara umum seperti nama orang, binatang, benda dan tempat. - Kata nama am ditulis menggunakan huruf kecil kecuali dalam memulakan sesuatu ayat.

 

KATA NAMA TERBITAN - ia merupakan kata-kata yang terboit dari kata-kata dasar. - Kata dasar yang digunakan ialah kata nama, kata kerja, kata adjektif, dan adverb. - Kata dasar ini ditambah dengan imbuhan. - Imbuhan kata nama yang digunakan ialah: -- an, pen - an , per - an , ke - an.

 

KATA NAMA TERBITAN DARIPADA KATA NAMA

 

Kata Nama

Kata Nama Terbitan

Imbuhan

sekolah

persekolahan

Per --- an

rumah

perumahan

Pe --- an

guru

perguruan

Per --- an

 

 

KATA NAMA TERBITAN DARIPADA KATA KERJA

 

Kata Kerja

Kata Nama Terbitan

Imbuhan

buat

Perbuatan, pembuat

Per - an , pem

duduk

Kedudukan , penduduk

Ke - an , pen

tulis

Penulisan, tulisan, penulis

Pe - an, -- an, pen

 

 

KATA NAMA TERTERBITAN DARIPADA KATA ADJEKTIF

 

Kata Adjektif

Kata Nama Terbitan

Imbuhan

bodoh

kebodohan

Ke - an

bersih

Kebersihan, pembersih

Ke - an, pem

 

 

KATA NAMA TERTERBITAN DARIPADA KATA ADVERBA.

 

Kata Adverba

Kata Nama Terbitan

Imbuhan

seluruh

keseluruhan

Ke - an

laju

kelajuan

Ke --- an

 

 


Terdapat beberapa kesalahan bahasa yang sering kita gunakan dalam penulisan karangan. 

Kesalahan serius yang kerap dilakukan murid semasa menulis karangan adalah seperti berikut :
1. Penggunaan kata hubung pada awal ayat sebagai penanda wacana : Namun, Tetapi, Malah, ManakalaSepatutnya : Akan tetapi, Namun begitu, (Penanda wacana) …..manakala……, ……malah…. (ditulis untuk menghubungkan dua ayat)
2. Ayat tergantung. ( Bak kata pepatah…..) ditulis pada awal ayat. Sepatutnya …..bak kata pepatah….(ditulis di dalam ayat)
3. Kesalahan ejaan…bah kata peribahasa….sepatutnya …bak kata peribahasa. ‘bah’ membawa maksud ‘banjir’.
4. memberi kasih sayang …… sepatutnya memberikan kasih sayang. Umumnya, kata kerja ‘memberikan’ perlu diikuti oleh objek tidak bernyawa manakala ‘memberi’ diikuti objek bernyawa.
5. Ayat tergantung kerana tiada subjek. Ini menunjukkan….. sepatutnya Hal/ Perkara ini menunjukkan……
6. Ini kerana …… sepatutnya Hal ini demikian kerana…
7. Justeru itu, …digunakan sebagai penanda wacana. ‘justeru’ ialah kata hubung yang membawa maksud ‘malahan’ atau ‘bahkan’.
8. Tidak menyelitkan objek selepas kata kerja transitif. …mempunyai banyak pilihan….. ‘banyak’ bukannya objek. ‘banyak’ ialah kata bilangan tidak tentu. Objek mesti kata nama. Sepatutnya : ….. mempunyai pilihan yang banyak…/ banyak mempunyai pilihan
9. Kata pemeri ‘ialah’ dan ‘adalah’ digunakan sesuka hati. ‘ialah’ perlu diikuti kata nama nama. ‘adalah’ perlu diikuti kata adjektif atau kata sendi nama.
10. Kata kerja tidak menerima kata pemeri. Anda perlu tambah kata sendi nama pada kata pemeri ‘adalah’. Sebagai contoh: Langkah-langkah yang perlu diambil adalah menguatkuasakan undang-undang……sepatutnya ….adalah dengan menguatkuasakan………/ adalah untuk meningkatkan mutu perkhidmatan… antara kata sendiri nama yang dapat digunakan ( adalah untuk/adalah dengan/adalah melalui, adalah seperti)
11. Bentuk lewah. Sebagai contoh : Antara faktor-faktor …… sepatutnya Antara faktor. Pelbagai langkah-langkah ….. sepatutnya …. Pelbagai langkah…
12. Bentuk lewah bagi pengimbuhan kata adjektif. Hanya dua imbuhan sahaja digunakan. Sebagai contoh: memperbaiki…..sepatutnya …membaiki atau memperbaik.
13. Kesalahan Hukum D-M. Sebagai contoh: …dan lain-lain lagi. Sepatutnya…. aktiviti-aktiviti lain. (berdasarkan perkara yang dibincangkan).
14. Penggunaan kata ganti nama diri ketiga ‘ia’ untuk benda atau perkara. Sebagai contoh: Salah satu langkah untuk mengatasi masalah kemusnahan alam sekitar adalah dengan menjalankan kempen. Ia perlu diadakan secara besar-besaran. ‘ia’ sepatutnya digantikan dengan subjek perbincangan iaitu, kempen. Pembetulan: Kempen ini perlu diadakan ……
15. Masih terdapat murid yang masih menulis …di kalangan…..sepatutnya ‘dalam kalangan’. Kata sendi ‘di’ berfungsi untuk menyatakan arah.
16. Pada masa kini….sepatutnya Pada masa ini, atau Kini,.
17. Kesalahan penanda wacana. Sebagai contoh : Selain daripada itu/ Selain dari itu , sepatutnya … Selain itu,… Sehubungan itu sepatutnya…. Sehubungan dengan itu,…
18. oleh kerana.. sepatutnya oleh sebab…
19. Penggunaan kata tanya dalam ayat penyata. Sebagai contoh : …di mana, yang mana, bagaimana, siapa, apa …..sepatutnya kata-kata tersebut digantikan dengan kata-kata lain yang sesuai. Sebagai contoh : apa – (perkara/hal), bagaimana – (cara/langkah), siapa – (orang/individu).di mana (tempat) /yang mana perlu digantikan dengan kata hubung yang sesuai.Jika anda menulis ayat tanya, pastikan anda meletakkan tanda soal (?).
20. Kesalahan pengejaan kata majmuk. Ibubapa sepatutnya ibu bapa, semulajadi sepatutnya semula jadi.
21. Penggunaan kata hubung ”tambahan pula” pada pangkal perenggan. “tambahan pula” tidak digunakan untuk isi baharu.

             Kesimpulannya, anda perlu berhati-hati semasa menulis. Sila buat semakan tatabahasa apabila selesai menulis karangan. Ketelitian anda amat dihargai. Berusahalah dengan bersungguh-sungguh. Penulisan karangan memerlukan kemahiran. Kemahiran perlu diasah dengan latihan yang mencukupi. Ingatlah, penulisan karangan fakta tidak boleh dipelajari secara IMAGINASI kerana setiap perkara yang berlaku perlu dibuktikan dengan fakta supaya kesahihan cerita kita itu menjadi lebih kuat.

             Namun, terdapat juga beberapa kesalahan yang lazim kita lakukan dalam penulisan dan sering terlepas pandang akan hal ini. Walaupun karangan kita dibuktikan dengan fakta dan bukti yang sahih, namun tatabahasa atau bahasa dalam penulisan juga dititikberatkan. Saya ada menyertakan sebuah video pembelajaran tentang kesalahan ejaan tatabahasa yang lazim kita lakukan dalam penulisan. Selamat menonton dan semoga bermanfaat untuk dijadikan sebagai pengajaran dan peringatan kepada anda semua.


Video pembelajaran: Kesalahan Ejaan Tatabahasa Bahasa Melayu.

Komen
* E-mel tidak akan diterbitkan di laman web.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING