Keperluan Soalan
Bagi soalan latihan atau soalan peperiksaan, bahagian ini akan mengemukakan tiga soalan karangan yang berdasarkan isu-isu semasa. Berdasarkan trend soalan semasa, terdapat satu soalan yang biasanya merujuk kepada soalan karangan berformat. Murid-murid dikehendaki menulis sebuah karangan yang panjangnya hendaklah melebihi 180 patah perkataan dengan berdasarkan tiga soalan yang dikemukakan dalam soalan atau latihan karangan bahasa Melayu.
Untuk menghasilkan karangan yang baik, empat proses yang berikut perlu diikuti oleh pelajar, iaitu:
i. Membaca semua soalan
ii. Membuat pemilihan dan perancangan
iii. Menulis karangan
iv. Membuat semakan
Selepas proses pertama dan kedua itu dilakukan, barulah murid menjalankan proses yang ketiga iaitu menulis karangan. Proses menulis karangan akan melibatkan pengolahan dan pengembangan isi karangan yang diperoleh dalam proses yang kedua. Proses inilah yang paling rumit dan mencabar kebolehan, kemahiran dan pengetahuan murid. Oleh yang demikian, proses yang ketiga ini perlulah diberikan tumpuan utama kerana markah karangan murid akan ditentukan oleh proses yang ketiga ini.
Teknik Mengolah Karangan dengan Menggunakan Formula
1. Pendahuluan
i. Ikatan 2 Hati (IKTHH- Isi, Kesan, Tindakan, Hasil, Hubung kait) - Formula Dr. Ghazali Lateh
Contoh perenggan pendahuluan
Alam semesta dan sekitar yang terbentang luas dan terpampang luas ini merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai harganya dan kita sebagai makhluk yang hidup di muka bumi ini diamanahkan dan dipertanggungjawabkan untuk menjaganya dengan sebaik mungkin. Alam ini hendaklah dijaga dengan penuh rasa tanggungjawab supaya dilindungi daripada pencemaran yang tidak diingini. (I) Namun, dek kerana terlalu sibuk mengejar kemewahan dunia, kini manusia semakin lupa dan leka akan tanggungjawab mereka untuk menjaga alam sekitar. (K) Tanpa memikirkan langsung kesan buruk terhadap alam sekitar, manusia kini lebih sibuk dan rakus mengeksploitasi alam sekitar untuk kepentingan setiap individu yang tamak haloba. Pihak yang bertanggungjwab sewajarnya mengambil berat akan keadaan ini dengan mengenakan tindakan undang-undang yang sepatutnya supaya masalah ini dapat diselesaikan sebaiknya. (T)(H) Antara yang terjejas teruk akibat perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab ini adalah sungai. Oleh yang demikian, punca-punca yang menyebabkan terjadinya pencemaran ini perlulah dikenal pasti dan ditangani segera atau mahukah kita menunggu sehingga keadaan sungai kita menjadi sungguh teruk kemudian barulah kita akan mengambil tindakan bak kata pepatah Melayu ada mengatakan sudah terhantuk baru terngadah? (H)
Formula: Ismail Kena Cium Lembu Hitam (IKCLH – Isi, Kesan, Contoh, Langkah, Hasil)
Contoh perenggan isi
Pembuangan sampah sarap ke dalam sungai adalah antara punca pencemaran sungai. (A/W) Perkara ini akan mendatangkan kesan yang sangat buruk kepada sungai apabila semua sisa buangan domestik dan sampah sarap dibuang ke dalamnya. Hal ini akan menyebabkan sungai akan dipenuhi bahan-bahan terbuang dan plastik sampah yang terapung pada permukaan air sungai. Selain itu, warna air sungai akan betukar kepada kehijau-hijauan dan kehitam-hitaman daripada warna asalnya iaitu jernih. (M/W) Sebagai contoh yang dapat dilihat, di negara kita sendiri, kelihatan sisa-sisa sampah yang terampai di permukaan sungai dan warna airnya yang keruh pada sungai-sungai di kawasan bandar mahupun di kawasan kampung sendiri. (M/W) Natijahnya, sumber air manusia akan tercemar dan hidupan akuatik akan musnah serta menyebabkan bau yang busuk yang kurang menyenangkan. Oleh itu, pembuangan sisa sampah ke dalam sungai boleh mengakibatkan pencemaran sungai. (Ba/H)
Tambahan pula, pencemaran sungai juga boleh berlaku akibat daripada pembuangan sisa-sisa daripada kilang. (A/W) Lazimnya, ini berlaku kerana berikutan daripada perbuatan pihak-pihak atau individu yang tidak bertanggungjawab yang hanya memikirkan periuk nasi sendiri tanpa memikirkan kesan kepada sungai-sungai di Malaysia. (S/W) Kebiasaannya, sisa-sisa daripada kilang yang dibina berhampiran tepi sungai akan dialirkan terus ke dalam sungai untuk melupuskan sisa buangan dengan cara yang lebih mudah.(M/W) Penjimatan kos bagi pelupusan sisa tersebut dapat dilakukan apabila sisa ini mengalir ke sungai. Sikap pengusaha kilang yang terbabit dapat diibaratkan seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. (B/W) Kesan buruknya, bahan-bahan kimia dan sisa-sisa toksik akan mencemarkan sungai dan sekaligus akan merendahkan kualiti air dan hidupan-hidupan akuatik sudah tidak sesuai untuk mendiami sungai itu. Dengan ini, impak buruk yang berlaku kepada sungai sekarang adalah antaranya kerana pengaliran sisa kilang. (Ba/H)
Di samping itu, kegiatan pembalakan juga antara punca pencemaran sungai. Kegiatan pembalakan adalah merupakan kegiatan penebangan pokok-pokok yang bertujuan untuk industri pembuatan dan pembangunan. (A/W) Pencemaran sungai akan berlaku susulan daripada kelonggaran ikatan zarah tanah disebabkan matinya akar yang mengikat struktur tanah tersebut akibat daripada aktiviti penebangan. (M/W) Oleh yang demikian, hakisan tanah akan berlaku dengan lebih mudah dan menyebabkan tanah tersebut akan mencemari sungai tersebut. (B/W) Selain itu, pembuangan kayu-kayu dan ranting-ranting pokok juga akan menyebabkan aliran sungai-sungai tersekat. Natijah yang paling ketara adalah berlakunya bencana alam seperti banjir kilat dan wabak penyakit seperti denggi, chikugunya dan lain-lain lagi akan berlaku. ( S/W) Kualiti air bagi tujuan domestik akan semakin berkurang berikutan pemendapan tanah yang banyak di dalam air sungai. Oleh itu, kegiatan pembalakan dan penebangan yang berleluasa ini tidak dapat dinafikan memberikan kesan buruk kepada sungai-sungai. (Ba/H)
Formula Isi Karangan: 5W1H (Apa, Siapa, Mengapa, Bila, Di mana, dan Bagaimana)
Contoh perenggan kesimpulan
Kesimpulannya, ketelitian yang lebih mendalam hendaklah dilakukan terhadap punca-punca yang menyebabkan pencemaran sungai supaya usaha-usaha mengatasi dan menangani masalah pencemaran sungai ini dapat dijalankan dengan lebih efektif. (R) Langkah yang proaktif seharusnya diambil oleh pihak kerjaan dengan menganjurkan lebih banyak kempen kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan sungai. Malah denda yang lebih tinggi boleh dikenakan oleh pihak yang berwajib kepada pihak-pihak yang melakukan aktiviti pencemaran sungai serta pemantauan terhadap kuliti air sungai di negara kita hendaklah kerap dilakukan seperti pepatah Melayu ada mengatakan mencegah lebih baik daripada mengubati. (C) Dengan ini sangat diharapkan agar pencemaran sungai dapat ditangani dengan kadar segera supaya generasi pada masa hadapan dapat merasai dan menikmati alam sekitar yang diwarisi daripada kita tanpa sebarang pencemaran seperti bijak pandai ada berkata alam bukan diwarisi daripada nenek moyang tetapi dipinjam daripada generasi akan datang. (H)
Formula Penutup/kesimpulan: Rasa Cinta Aku Pasti Hilang (RCAPH – Rumusan, Cadangan, Ancaman, Harapan )
....................................................................................................................................................................................................
Teknik yang dibincangkan tadi diharapkan dapat membantu murid-murid dalam menghuraikan dan mengembangkan isi karangan dengan baik. Diharapkan juga murid-murid dapat membina setiap perenggan karangan dengan teratur dan seimbang. Perenggan pendahuluan, perenggan isi, dan perenggan kesimpulan akan menjadi seimbang jika olahan dan huraian dirancang dengan baik dan jumlah perkataan yang dikehendaki akan dapat dipenuhi oleh murid-murid. Di samping itu murid-murid juga dinasihatkan agar membaca bahan-bahan bacaan yang relevan dan sesuai untuk membantu proses pengolahan dan pengembangan isi karangan. Murid-murid turut digalakkan membaca suratkhabar Utusan Malaysia dan Berita Harian, majalah Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Pelita Bahasa, Fokus, Kosmik dan sebagainya. Selain itu murid-murid juga dinasihatkan supaya banyak berlatih untuk mengembangkan isi karangan supaya tidak menghadapi masalah semasa berada di dalam dewan peperiksaan. Selamat mencuba formula yang dicadangkan ini.